Libasan kabel monitor

Standard

Bila terbaca berita pasal isu saman menyaman antara ibu bapa dengan guru pendidik ni, aku tertanya. Apa fungsi seorang guru kalau langsung si anak tak boleh disentuh?

cikgu

Teringat masa dulu zaman sekolah; dalam makmal komputer. Cikgu Fauzi namanya, garang kemain. Mengajar sambil genggam kabel monitor. Suaranya tinggi, garaunya kasar, kepalanya sedikit licin, tingginya sedikit kurang – tetapi tegasnya tetap kami pandang. Pantang lihat ada pelajar yang menyembang, dijerkahnya terus berjalan melibas kabel di badan. Menggeliat badan menahan pedih. Itu baru pengajaran buat badan. Tak pernah pula disaman.

Memang zaman tu balik mengadu pun kena ‘padan muka’ dengan ibu bapa lagi. Apalah sangat ditampar kepala dengan Cikgu Fauzi, kerap sangat. Pernah juga didenda berjalan gaya itik keliling makmal. Lemah longlai lutut bila bangun. Rasa nak tercabut semua ada. Tiap kali masa makmal komputer, hati jadi gementar. Bersedia segala kemungkinan. Niat nak ponteng pun berlalu pergi.┬áItu baru gaya cikgu mendidik. Kami hormat sampai sekarang. Tak pernah simpan dendam. Bukannya marah tak bertempat, bila berjumpa di luar; senyumannya manis, percakapannya serupa bapa yang kasih akan anak-anaknya. Tunduk salam cium tangan tanda hormat.

Tak kurang juga cikgu-cikgu lain.

Ada yang didenda berlari keliling padang 5-10 pusingan.

Ada yang disuruh berdiri tepi tiang gol sampai habis waktu kelas.

Ada yang disuruh berdiri luar kelas; berdiri atas meja.

Ada yang disebat dengan pembaris kuning satu meter.

Ada yang dilempar pemadam papan hitam.

Merah mata, mengalir air. Sekarang alhamdulillah semunya menjadi manusia walaupun berlainan perjuangan.

Zaman sekarang pantang dicuit melambung gansternya. Dipukul pula juga, disokong pula keluarga. Besarnya jadi apa tanpa bimbingan yang betul?

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *